Khamis, 17 September 2020

Duit Sebagai Alat


Dalam usaha kita untuk hidup lebih tenang dan selesa, sudah pasti beberapa percaturan perlu dibuat. Langkah demi langkah disusun. Membuat perancangan memang susah, namun melaksanakan rancangan jauh lebih susah. Ada saja perkara yang saya selalu panggil 'baling spanar' yang mengganggu perancangan. Ini adalah kelemahan sebagai manusia kerana kita hanya mampu meramal masa akan datang, tetapi tiada apa yang pasti. 

Apa-apa pun sudah pasti saya ada azam saya, saya sangat berharap anak-anak saya mendapat pendidikan yang terbaik, simpanan yang mencukupi untuk mengharungi kehidupan mereka yang sudah pastinya semakin mencabar. Sebolehnya saya tidaklah mahu anak-anak terpaksa berhutang kecuali hutang beli rumah. 

Saya masih ingat, pada usia 18 tahun bonda saya telah menyimpan sebanyak RM5,000 kepada saya. Hari ini, saya tahu RM5,000 tidak mencukupi untuk anak-anak saya dan saya yakin jika kita menggunakan cara yang betul, kita boleh membuat simpanan yang mencukupi untuk masa depan mereka.

Masalahnya adalah dilema antara hidup seronok pada hari ini atau kehidupan yang selesa di masa hadapan. Kata orang, buat apa fikir masa depan yang belum tentu. Lebih baik seronok pada hari ini. Belanjalah, bermewahlah dan berseronoklah selagi ada kudrat dan wang. Masa depan mungkin sudah tua, tidak boleh seronok, duit banyak pun nak buat apa? 

Pada saya, kebahagiaan hidup ini adalah mudah sahaja. Jika hidup tenang, sihat, cukup makan pakai, bebas ke mana saja dan berseronok sekali sekala itu sudah memadai. 

Kenapa saya selalu berfikir sebegitu mudah maksud kebahagiaan itu?

Kerana apabila saya berurusan mengenai sesuatu, banyak rintangan dan halangan terpaksa saya rempuh. Hinggakan perkara yang dilihat mudah bagi kebanyakan orang menjadi kesusahan besar buat saya. Saya selalu berharap apabila mengerjakan sesuatu hal, semoga ia dipermudahkan. 

Sudah pasti selepas merancang dan melaksanakan perancangan dengan susah payah, saya akan jadi sangat kecewa jika ia digodam begitu sahaja. Semoga niat saya untuk menaik taraf kehidupan keluarga dipermudahkan insya Allah. 

Saya belajar banyak dari buku yang saya baca, betapa ramai yang ada ilmu tinggi, kerja besar, gaji banyak tetapi betapa sedikit sahaja yang ada ilmu mengurus kewangan, mengurus hidup. 

Saya juga seperti mereka yang mulanya menganggap masalah kewangan boleh diselesaikan dengan pendapatan besar. Malangnya hal ini tidak berlaku. Pepatah melayu ada menyebut 'banyak nasi, banyak keraknya.' How true.

Pandangan kita mengenai wang perlu diubah. Dengan sedikit kesabaran, wang boleh bekerja untuk kita dan bukan kita bekerja untuk wang sangat. Namun, berapa ramai yang mengerti? Atau yang mendengar sekadar mencurah air ke daun keladi?

Selagi pandangan, cara kita memahami wang itu salah, selagi kita berterusan mendefinisikan kebahagiaan dengan ukuran harta yang tidak bernyawa, selagi kita mengejar kemewahan yang boleh membunuh sifat manusiawi, selagi itu hidup kita tidak bererti. 

Seorang sahabat menasihati saya, berfikirlah tentang kematian nescaya hidupmu akan lebih bererti. Belajarlah untuk bersyukur dan bukan membanding-banding. Hiduplah dengan sederhana asalkan tidak berhutang sana sini. Fikirkanlah tentang anak-anak kerana kesusahan bukan untuk diwarisi. 

Wallahulalam. 

Isnin, 7 September 2020

Selesai Fasa 1

Kita bagi dia nampak kemas sikit, kesian dia. 

Pada 23 April 2020 saya telah memulakan Wawasan 2025, ia merupakan rancangan jangka sederhana untuk memulihkan ekonomi keluarga. Saya bersyukur kepada Allah kerana berjaya menyelesaikan Fasa 1 dalam tempoh 4 bulan. 

Pada awalnya, fasa tersebut sukar dicapai kerana komitmen kewangan yang lain mengganggu perancangan. Dalam masa yang suntuk, saya beralih kepada Plan B, iaitu manipulasi kadar asas Bank yang rendah. Pertukaran kadar lama dengan kadar baharu membolehkan pengurangan bayaran bulanan. Manakala baki tunai digunakan untuk melangsaikan pembiayaan lain.

Dengan dibantu Moratorium, PTPTN berjaya diselesaikan dan ansuran kenderaan direndahkan. Saya berusaha sehabis baik memanfaatkan tempoh moratorium yang diberikan Kerajaan Persekutuan. Mudah-mudahan keadaan ekonomi selepas Moratorium adalah lebih baik berbanding sebelumnya. Saya akan berehat seminggu dua sebelum kembali menyusun rancangan Fasa 2 pula. Semoga urusan dipermudahkan insya Allah. 

Saya berterima kasih kepada Allah kerana memberi ilham kepada Kerajaan untuk menggunakan teknik Keynesian dalam urus tadbir ekonomi negara ketika mengharungi krisis Covid-19. Asbab Moratorium ini banyak membantu saya menyusun kembali kehidupan keluarga. 

Pemilihan Cabang Wangsa Maju: Pandangan Dari Jauh

1. Musim pemilihan Parti Keadilan Rakyat tiba lagi. Inilah saatnya para anggota parti mengundi calon pemimpin mereka. 2. Sama ada publisiti ...