Saat saya mencatuk entri ini hari ini 29 Ramadan 1446 Hijrah. Jika hitung kira ahli falak tepat insya Allah esok hari raya. Alhamdulillah saya masih boleh berpuasa pada usia 40 tahun atau 41 tahun jika mengikut kalendar hijriyah.
Untuk kali ini saya ingin mengimbas kembali Ramadan tahun lepas. Pada satu malam Ramadan, saya telah terjaga dari tidur. Dalam keadaan mamai itu saya menatal telefon pintar dan mendaftar sebagai calon MUET. Saya telah memohon peperiksaan ini dan pada masa sama juga saya memohon sambung belajar di bawah program penajaan kumpulan pelaksana, JPA. Program ini menyediakan biasiswa bagi mereka yang mendapat tawaran dari IPTA.
Peperiksaan MUET berlangsung pada Julai dan Ogos 2024 di Sekolah Jalan Cochrane, Cheras. Pada mulanya peperiksaan speaking test. Saya agak tergagap juga menjawab soalan ini memandangkan kosa kata bahasa inggeris saya tidalah begitu lumayan. Lebih mencabar apabila kami para calon hanya diberikan 2 minit masa untuk bersedia sebelum menjawab soalan. Dengan bergantung kepada sedikit kelebihan pada listening dan reading, akhirnya dapatlah Band 4.
Asalnya permohonan sambung belajar ini saya kemukakan kepada Universiti Putra Malaysia. Takdir telah menetapkan rezeki saya bukan di UPM. Permohonan UPU saya gagal di situ. Maka atas nasihat Ketua Seksyen Audit dan rakan-rakan, saya kemukakan rayuan permohonan UPU. Ketika proses rayuan inilah saya dibantu oleh pegawai dari UiTM. Akhirnya saya menerima tawaran menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) di Fakulti Perakaunan, UiTM Kampus Puncak Alam.
Sehari sebelum pendaftaran, kaki saya sakit dan saya berjalan tempang ketika menuju ke HEA Fakulti Perakaunan. Saya ingat tarikh itu adalah 10 Oktober 2024. Itulah tarikh saya jejak kaki di sini, 18 tahun selepas saya berundur dari UiTM Kampus Seri Iskandar pada 8 Mei 2006.
Urusan masuk belajar saya sebenarnya lintang pukang juga. Ini kerana keputusan rayuan pada 4 Oktober 2024, jadi dalam tempoh kurang seminggu saya perlu uruskan beberapa perkara sekaligus:-
1. Urusan rasmi kerja dan penyerahan tugas
2. Urusan dokumentasi sambung belajar
3. Urusan dokumentasi biasiswa
Dalam keadaan serba sederhana akhirnya saya diterima masuk belajar. Saya ditempatkan di Kelas 1M dan 1I. Kenangan manis saya adalah apabila saya dapat hadir di semua kelas meskipun saya perlu mengharungi 100KM jarak perjalanan ulang alik dari UiTM ke rumah saya.
Saya bersyukur dapat assessment mark yang baik bagi menampung kekurangan ketika peperiksaan akhir. Akhirnya saya pun diberi rezeki untuk dapat Anugerah Dekan pada peperiksaan akhir Februari 2025.
Bulan Ramadan ini genaplah setahun sejak gerakan sambung belajar ini bermula. Catatan yang sepatutnya dihantar awal tertangguh selama setahun sehinggalah ke hari ini.
Insya Allah, esok raya!