1. Musim pemilihan Parti Keadilan Rakyat tiba lagi. Inilah saatnya para anggota parti mengundi calon pemimpin mereka.
2. Sama ada publisiti buruk atau baik, demikianlah PKR cuba mempromosi partinya kepada umum. Berita-berita pemilihan diberi liputan meluas sehingga menarik perhatian orang awam untuk mengikuti perkembangannya. Cerita-cerita seperti rasuah undi, samseng bertumbuk, tayang senjata, gaduh-gaduh mulut, serta kenyataan pemimpin yang tewas dalam perebutan mewarnai garis masa media sosial.
3. Namun demikian, pemilihan kali ini tidaklah sepanas pemilihan-pemilihan sebelum ini. Kalau dahulu politik peringkat atasan turut terjebak dalam sentimen pengundi kerana anggota boleh mengundi calon Presiden. Susulan pindaan perlembagaan parti, anggota akar umbi hanya boleh memilih pemimpin di peringkat Cabang dan pemimpin cabang akan memilih pimpinan tertinggi. Jadi kuranglah panasnya itu.
4. Selain itu pemilihan secara atas talian menyebabkan pertembungan fizikal terhad. Kalau dahulu pemilihan sangat tegang sehingga kita tidak berani pergi ke barung panas kem lain. Pergaduhan dan ketegangan secara terang-terangan sentiasa ada. Aksi baling kerusi, sepak terajang, gambar anggota dengan muka berdarah dan tangkap layar laporan Polis merupakan paparan biasa yang menggambarkan betapa panasnya pemilihan parti. Kali ini, selain daripada undi atas talian, Jawatankuasa Pemilihan turut tidak membenarkan senarai cai dicetak dan dipamer secara terbuka. Perkara ini dibuat bagi menjaga parti dari dilihat secara terbuka membiarkan anggota parti berperang sesama sendiri. Hasrat JPP adalah biarlah pertandingan nanti seperti bertanding adik beradik dan apa yang berlaku adalah urusan dalaman parti.
5. Secara tidak rasmi, calon pemilihan Keadilan menggunakan 'cai' sebagai panduan mengundi. Cai ini bermaksud menu. Setiap calon Ketua Cabang akan memberikan cai calon jawatan lain yang bertanding di bawah kemnya. Kebiasaannya pengundi akan mengundi mengikut senarai cai sebab malas nak fikir. Namun demikian terdapat juga 'cai dalam cai'. Apabila berlaku percaturan di sebalik tabir, terdapat kumpulan yang mengubah suai cai untuk mencapai hasrat mereka. Bagus juga ada cai dalam cai. Yang menang, tak menang semua. Yang kalah, tidaklah kalah semua.
6. Saya agak pelik apabila ada pemimpin yang tewas mengadu dia seorang saja tewas tetapi anak buah dalam cai semua menang. Adakah pemimpin ini lupa perkara ini telah pun berlaku sejak sekian lama, seperti contoh Pemilihan 2014, calon Ketua AMK Amirudin Sari tewas di tangan Nik Nazmi, tetapi hampir semua cai dalam kem AMKBaru menang. Begitu juga keadaan di mana Dr. Afif tewas pengundian Ketua AMK, tetapi dari jawatan Timbalan Ketua AMK sampai ke bawah dimenangi cai yang dinaunginya?
7. Medan pemilihan juga dilihat sebagai peluncur bagi mereka yang ada impian untuk pergi jauh dalam politik. Ia juga dilihat sebagai platform terbaik untuk mereka menunjukkan kekuatan dan pengaruh politik di peringkat akar umbi kepada pimpinan atasan.
8. Pemilihan di Wangsa Maju sentiasa dekat di hati saya, meskipun saya tidaklah aktif dalam politik lagi, apatah lagi politik kepartian. Akan tetapi alang-alang nama sudah ada dalam daftar pemilih, kita pun mengundilah.
9. Berdasarkan maklumat lama, anggota parti di Wangsa Maju berjumlah 4,300 anggota. Untuk pemilihan kali ini seramai 1,607 anggota yang telah membayar yuran dan menjalani proses e-KYC layak mengundi. Memandangkan pengemaskinian maklumat diri, urusan e-KYC dan pembayaran yuran yang agak renyah maka saya menjangkakan 100% anggota yang layak ini akan turun mengundi.
10. Dengan itu, Golden Number (jumlah undi menang mudah) bagi pemilihan kali ini adalah 804 undi (dengan andaian semua yang dah scan muka tu mengundi). Ketika itu, saya melihat saudara Zahir berpotensi boleh dapat 800 undi.
11. Manakala saudara Lai boleh meraih 600 undi dan saudara Abdullah adalah 200 undi. Angka-angka ini saya unjurkan hasil dari prestasi calon dalam dua tiga pemilihan sebelum ini.
12. Selepas berlalu pusingan pertama pemilihan di negeri lain, didapati trend mengundi adalah antara 75% hingga 85%. Maka boleh dianggarkan pengundian di Wangsa Maju dalam jajaran lingkungan 80% hingga 85%. Ini menyebabkan Golden Number menurun dari 804 undi kepada 650 undi. Bagaimanapun, disebabkan kali ini ada 3 calon merebut jawatan Ketua Cabang, nilai Golden Number boleh diturunkan lagi dari 650 undi kepada 550 undi.
13. Dalam keadaan ini, mana-mana calon yang mempunyai jentera yang baik dan boleh maksimumkan rizab undi berpeluang untuk menang. Bagi maksud Wangsa Maju, sekiranya Andre Lai berjaya mengekalkan rizab undi sebanyak 600 undi, dia boleh menang dengan syarat undi untuk saudara Abdullah kekal pada jajaran 200 undi.
14. Seperti bola sepak, walaupun pintu gol terbuka luas, kalau bola tak nak masuk, dia takkan masuk. Dalam maksud Wangsa Maju, semua pintu terbuka untuk saudara Zahir tewaskan Andre Lai tetapi akhirnya tidak diterjemahkan dalam bentuk undi.
15. Majoriti pengundi (55%) tidak mengundi Andre Lai. Sentimen penolakan adalah jelas. Namun dengan mengambil kira bahawa saudara Zahir adalah MP Wangsa Maju, sentimen penolakan itu adalah sesuatu yang lazim. Biasa.
16. Penolakan undi kepada Andre Lai bagaimanapun terpecah kepada undi buat Abdullah dan Zahir. Ini bermaksud di saat ada gerakan tersusun menolak Lai, ada juga gerakan kecil yang turut menolak keberadaan Zahir di Cabang Wangsa Maju. Gerakan kecil inilah yang menghakis peluang saudara Zahir untuk menang di saat setiap satu undi itu berharga.
17. 300 pengundi yang telah selesai e-KYC yang sepatutnya boleh mengundi Zahir tetapi tidak mengundi. Dalam keadaan undi maksimum telah dicapai oleh Andre Lai dan Abdullah Talip, Zahir berpotensi menang jika pengundi ini mengeluarkan telefon pintar -- buka app ADIL -- tekan calon nombor 3.
18. Keadaan inilah yang menyebabkan Andre berjaya mengekalkan jawatannya buat kali ketiga berturut-turut.
19. Buat pertama kali, barisan kepimpinan Andre Lai akan mentadbir cabang Wangsa Maju dengan undi minoriti. Bagaimanapun, kemenangan ke atas penyandang Ahli Parlimen bukanlah sesuatu yang kecil. Ianya membuktikan pengaruh Lai masih utuh di Wangsa Maju dalam keadaan beliau sendiri tiada naungan Ahli Parlimen seperti penggal sebelumnya. Untuk 3 tahun akan datang, pasukan ini perlu menyusun kembali strategi dan hala tuju yang lebih baik untuk mengekalkan kuasa. Bagi ahli parti, keadaan ini menguntungkan kerana terdapat 2 orang pemimpin yang masing-masing memiliki kedudukan dalam kerajaan. Persaingan antara kedua-dua pemimpin ini membolehkan ahli memilih lebih dari 1 saluran untuk mendapatkan bantuan berhubung isu-isu setempat.
20. Pemilihan ini juga mencatat sejarah apabila ahli akar umbi, saudara Azmee bakal menggalas jawatan Timbalan Ketua Cabang. Azmee bermula sebagai ahli biasa pada tahun 2012, seterusnya AJK Cabang dan Timbalan Ketua AMK pada tahun 2014. Seterusnya mengekalkan jawatan AJK Cabang pada pemilihan 2018, kemudian dipilih sebagai Naib Ketua Cabang pada pemilihan 2022 dan akhirnya memenangi jawatan Timbalan Ketua Cabang pada pemilihan 2025. Bagi ahli biasa yang tidak banyak modal, jawatan tertinggi yang boleh disandang adalah Timbalan Ketua Cabang. Percaturan politik akan berubah apabila melibatkan jawatan Ketua Cabang dan ke atas. Ia melibatkan modal yang sangat besar.
21. Sebelum ini saudara Zahir ada memaklumkan kesukaran bekerja kerana kepimpinan Wangsa Maju dikuasai orang lain manakala wakil rakyat adalah orang lain. Kalau betul berjiwa besar, iktiraflah kemenangan Ketua Cabang dan ajaklah bergabung. Peluang menjadi statesman sedang terbentang di depan mata, terpulanglah. Bukankah itu yang membezakan antara politikus picisan dengan negarawan? lihatlah pada negarawan yang kita kenali bukankah persamaan mereka adalah inklusif dan berjiwa besar? Sekali lagi, terpulanglah kepada kalian semua.
22. Secara kasarnya keputusan Pemilihan Keadilan 2025 di peringkat Wilayah Persekutuan tidak memihak kepada calon yang dikenali condong kepada saudara Rafizi Ramli. Keputusan-keputusan di peringkat cabang dijangka mengukuhkan kedudukan Tok Man sebagai Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan. Wallahulalam.