Pada 7 Oktober 2018 saya telah bertanding mempertahankan jawatan AJK Angkatan Muda Cabang Wangsa Maju yang disandang sejak tahun 2014. Walau bagaimananpun rezeki saya tewas dalam pemilihan ini. Saya tidaklah ralat pun sebab saya tahu saya telah all out -- baik daripada sudut persiapan data kempen, pandangan-pandangan politik lain dan sebagainya.
Pada saya, kalau kita all out, kalah menang bukan lagi perhitungan. Itu adalah suratan. Saya terima dengan hati yang lapang dan mendoakan kepimpinan baru AMK Cabang semoga dapat bekerja keras demi parti dan rakyat.
Apabila saya berfikir sejenak, pada saya untuk Pemilihan Parti ini sama ada menang atau kalah, puluhan ribu ringgit belanja kempen telah dicampak buang begitu sahaja. Seandainya perbincangan diadakan secara mendalam dan kata sepakat dapat dicapai, kita dapat jimatkan duit-duit ini serta tenaga jentera tidak perlu dihabiskan untuk perang saudara ini. Malangnya pemikiran saya ini barangkali sudah begitu naif. Kuasa dan perebutan pengaruh mungkin telah membutakan mata hati kita bukan?
Ketika saya menulis posting ini kepala saya terasa ringan, sudah tiada lagi imbasan angka dan analisis dalam pemikiran saya. Sudah tiada lagi ingatan perkongsian pendapat saya berhubung urusan politik di Wangsa Maju. Semuanya sudah saya delete dari memori. Ini adalah kebolehan saya -- melupakan sesuatu dengan mudah.
Kalau dibaca posting saya sebelum ini saya tidak menghabiskan perenggan akhir, firasat saya sejak awalnya adalah pasukan ini di ambang kekalahan. Saya memberitahu perkara ini pada sahabat saya namun dia menenangkan saya.
Malah dalam post tweet saya pada 3 Ogos 2018 juga saya nyatakan "kita berada di hujung permainan".
Biasalah dalam mana-mana organisasi apabila ia menjadi kuat maka muncullah pertembungan antara yang baru dan yang lama. Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang berupaya menggabungkan semuanya lalu membentuk keseimbangan dan keharmonian organisasi. Perkara ini susah dibuat. Hanya pemimpin berjiwa besar sahaja yang mampu.
Ikatan kita dalam pasukan ini sudah terlerai pada hujung malam 7 Oktober. Kini semua bebas untuk ke mana-mana. Tiada siapa boleh mengatur gerak pasukan ini kerana kami sudah tiada apa-apa tanggungjawab kepada parti lagi.
Saya sendiri sudah menyediakan nota serah tugas dan telah saya sampaikan amanat akhir saya kepada kepimpinan baru Angkatan Muda Keadilan Cabang Wangsa Maju. Masa untuk Oldtimer mengundur diri. Kini jalan sudah dibentang seluas-luasnya buat anak-anak muda menyumbang bakti.
Demikianlah politik, giliran kita sudah habis. Kini giliran mereka pula. Wallahulalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan