![]() |
Kembali Bertugas Selepas Raya |
Kesampaian Covid-19 mengubah segala-galanya. Bulan Ramadhan disambut dalam keadaan berkurung di rumah. Dalam keadaan krisis, sambutan Ramadhan sebegini boleh saya sifatkan sebagai hadiah. Masa yang terluang boleh digunakan untuk mengingati Allah, bertadarus, bertarawih dan melakukan ibadah lain seadanya. Saya bersyukur mampu khatam Quran, perkara yang sudah bertahun saya hasratkan. Namun, ibadah berpuasa sebenarnya sukar bagi saya, ketiadaan nikotin menyebabkan saya mudah lemau dan terlelap. Saya boleh hidup tanpa nikotin, tapi anda akan dapati saya tidak berguna langsung.
Hari Raya disambut dengan hambar namun penuh dengan perasaan bersyukur. Tradisi raya melayu seperti ziarah menziarahi dan balik kampung terpaksa dilupakan. Hasrat saya untuk menziarahi pusara arwah abah di daerah Manong, Kuala Kangsar perlu ditangguhkan. Saya baru berangan memandu menelusuri jalan kampung sambil menikmati panorama desa dan aroma rimbun pepohon yang hijau dan menyegarkan. Dari Manong, kita boleh tembus ke Parit, seterusnya masuk ke jalan menuju Manjung. Kalau nak lagi 'rare', lepas Pejabat Pos Bota belok ke arah Kampung Gajah. Boleh singgah Pasir Salak. Huhu.
Dalam kelam ribut Covid-19 ini, saya bersyukur kerana saya beraya sakan pada Syawal tahun lepas. Sekurang-kurangnya saya tidaklah berasa ralat sangat. Wallahulalam.
Dua hari sebelum Syawal, adik ipar saya telah menghantar kereta Viva 660cc. Sudah berapa tahun saya tidak memandu gear manual. Terkial-kial juga. Tak apalah. Niat belajar. Insya Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan