![]() |
Rumah pakcu di Kampung Bor, Banggol Belimbing |
![]() |
Pagi di Lenggong. Tenang. |
Tidak seperti tahun lepas, tahun ini kami tidak menziarahi saudara yang lain kerana saya faham ini bukan lagi musim raya aidilfitri. Mereka sudah pasti sibuk dengan urusan dan perancangan masing-masing.
Khamis, 18 Jun 2020
Perjalanan ke Lenggong lancar pada mulanya. Kami memulakan perjalanan pada jam 10.30 pagi melalui lebuhraya sebelum keluar ke Sungkai. Seterusnya perjalanan melintasi jalan lama melalui Malim Nawar -- Batu Gajah -- Jelapang -- Chemor -- Sungai Siput. Ketika di Sungai Siput suhu enjin naik dan saya terpaksa memperlahankan kenderaan. Beberapa kali kami terpaksa berhenti bagi mengurangkan bahang enjin. Akhirnya sebaik sampai di Kati, Kuala Kangsar saya memutuskan untuk jalan terus ke Lenggong walaupun enjin masih panas. Jam 5.30 petang kami sampai.
Jumaat, 19 Jun 2020
Keesokannya kami ke bengkel di pekan Lenggong. Bengkel ini kecil tetapi banyak alat ganti dan aksesori. Masalah kipas radiator yang kurang berfungsi menyebabkan suhu enjin panas. Saya menukar motor kipas, wiper belakang dan hon. Menikmati panorama hujung siang di Tasik Raban.
Sabtu, 20 Jun 2020
Selepas dua malam di rumah pakcu, pada hari Sabtu pagi kami bergerak ke Zoo Taiping. Saya bawa anak-anak melihat kanggaru, kuda belang, zirafah, babi, kucing hutan, singa dan gajah. Hati saya berasa lapang apabila mereka meninggalkan gajet masing-masing untuk berjalan di zoo. Dua jam di Taiping, saya kemudian memandu ke Pulau Pinang menerusi Jambatan kedua. Cuaca panas menyebabkan kami cepat letih. Namun saya terus memandu ke Batu Feringgi. Sempatlah tengok sunset di situ.
Ahad, 21 Jun 2020
Malamnya saya memandu hingga ke Sungai Dua sebelum kami meneruskan perjalanan ke Sungai Petani. Esoknya saya memandu ke Sungai Limau, Yan. Usai makan tengah hari, saya memandu ke Kuala Perlis.
Isnin, 22 Jun 2020
Esoknya kami pulang ke rumah. Perjalanan dari Sungai Dua awalnya lancar sebelum masalah enjin panas kembali seperti hantu. Sampai di persimpangan Kuala Kangsar, saya meneruskan perjalanan mengikut jalan lama sehinggalah masuk semula ke lebuhraya di persimpangan Bidor. 3 jam di jalan lama sudah pasti meletihkan. Kawasan ini tiada pemandangan indah seperti di Kedah. Kiri kanan hutan belukar. Kadang-kadang nampaklah kampung-kampung yang cantik dan permai. Nasib baik jalan lengang bolehlah saya memandu dengan tenang.
Sebagai kesimpulannya raya tahun ini saya memandu lebih 1,000 km berbanding 500 km pada raya tahun lepas. Keadaan kereta yang kurang baik menyebabkan saya terpaksa bawa perlahan dan jam 8.30 malam akhirnya kami sampai dengan selamat, Alhamdulillah. Ini merupakan kali pertama saya beraya back-to-back ke Lenggong. Saya tidak pasti kemampuan saya untuk mengharungi perjalanan seperti ini pada masa hadapan. Apa-apapun niat saya terkabul jua akhirnya. Syukur. Inilah raya last minit. Rezeki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan