Di sebalik kedinginan bulan November kehidupan ini dilalui dengan gelora politik yang mengganas susulan pembubaran dewan rakyat. Pertembungan sengit di antara 3 kumpulan politik utama merupakan pengalaman baru bagi saya. Saya tidak menyangka keputusan pilihanraya kali ini tergantung setelah tiada mana-mana gabungan politik melintasi angka 112 kerusi.
Dua minggu ketika tempoh berkempen, saya telah diberi amanah untuk merangka draf manifesto calon PKR-PH bagi kerusi P125 Putrajaya. Saya berpuas hati kerana hampir semua usul dimasukkan dalam manifesto tersebut.
Bagaimanapun sedikit sebanyak sesalan muncul di hati saya apabila Pakatan Harapan Putrajaya kalah teruk di tangan Perikatan Nasional. Saya amat berharap Dr. Aishah dilantik sebagai senator dan turut menyumbang kepada kerajaan perpaduan yang bakal ditubuhkan nanti.
Secara keseluruhannya saya menganggap sumbangan kali ini sebagai satu kenangan manis yang akan saya ingati selamanya. Saya berterima kasih di atas peluang yang diberikan oleh Dr. Aishah. Ramai orang luar yang menyokong tetapi dalam pilihanraya, sokongan ini tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk undi.
Selesai minggu pertama kempen pilihanraya, minggu kedua saya sibuk apabila anak kelima lahir. Tanggal 13 November 2022, isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan. Syukur Alhamdulillah. Saya memberi namanya Hana. Hana maksudnya bunga dalam bahasa jepun. Saya juga difahamkan dalam bahasa arab Hana bermaksud lembut (dieja dengan huruf ha pedas) manakala dalam bahasa Inggeris Hana juga adalah setara dengan Anne iaitu opah kepada Nabi Isa a.s.
Pada hari pilihanraya, saya terlebih dahulu membawa Hana ke Klinik Kesihatan Dengkil. Apabila ditimbang didapati berat badannya susut dan perlu dirujuk kepada High Dependancy Ward (HDW) Hospital Putrajaya. Saya meminta kebenaran dari klinik untuk pergi mengundi dahulu sebelum menghantar Hana ke hospital. Dalam pukul 2 petang, pusat mengundi telah lengang, saya terus masuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana di saluran 6. Selesai mengundi saya pun mengemas barang-barang Hana untuk dibawa bersama. Saya tidak tahu apa keputusan pilihanraya kerana sibuk ke sana ke sini. Semalaman juga Hana berada di HDW. Selepas balik ke rumah, isteri menyediakan susu badan untuk saya hantar ke HDW. Dalam hujan yang sangat lebat, saya patah balik ke HDW lewat malam untuk mengirim susu tersebut.
Keesokannya barulah saya dimaklumkan oleh HDW bahawa berat badan Hana normal dan penimbang di klinik rosak. Saya bersyukur Alhamdulillah.
Keputusan pilihanraya esoknya barulah saya tahu buat pertama kalinya dalam sejarah tiada mana-mana coalition berjaya mendapatkan majoriti. Pakatan Harapan 82 kerusi, Perikatan Nasional 73 kerusi, BN 30 kerusi manakala GPS 24 kerusi. Perikatan Nasional berjaya menghakis kuasa Barisan Nasional dan turut mencakar Pakatan Harapan. Nasib baik Pakatan masih berupaya mengekalkan undi teras.
.
Ini menyebabkan parlimen tergantung. Kerajaan tidak dapat dibentuk. Sekali lagi kita bernasib baik kerana Yang Dipertuan Agong bertitah agar ditubuh kerajaan perpaduan. Bagaimanapun Perikatan Nasional tidak mahu bergabung dengan Pakatan Harapan. Manakala GPS menyerahkan kepada budi bicara Yang Dipertuan Agong. Secara idealnya adalah baik jika PH bergabung dengan GPS, GRS, Warisan dan KDM untuk membentuk majoriti. Akan tetapi perkara ini hampir mustahil berlaku kerana GPS lebih cenderung mengikut keputusan BN.
Kunci penubuhan kerajaan kali ini adalah BN. Jika BN menyokong mana-mana coalition politik, maka GPS dan GRS akan ikut serta.
Akhirnya BN memilih untuk bergabung dengan PH. Maka dengan itu wujudlah multi-coalition government atau terjemahan tidak tepat dalam bahasa melayunya Kerajaan Perpaduan. Sefaham saya, kerajaan perpaduan tidak mempunyai pembangkang. Tetapi atas rasa hormat pada titah Agong agar ditubuhkan kerajaan perpaduan maka kekallah nama itu walaupun bukan semua parti yang menyertai gabungan kerajaan ini.
Selebihnya adalah masa yang ditunggu-tunggu iaitu pelantikan saudara Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke Sepuluh (PMX). Maka sejarah baru tercipta, seorang yang dikutuk PM tepi kerana telah dikompang sebagai Perdana Menteri ke-5, ke-6, ke-7, ke-8 dan ke-9 sejak zaman Reformasi hinggalah pasca Perikatan Nasional akhirnya berjaya juga jadi PMX. Meskipun prestasi PH kali ini adalah setara dengan PRU-12 dan PRU-13, jasa Perikatan Nasional yang menghakis Barisan Nasional menerusi Tsunami Melayu telah menyebabkan Barisan Nasional semakin lemah. Bagi PH, BN yang lemah adalah baik kerana mudah diajak berunding.

Demikianlah sejarah, 24 November 2022 Anwar mengangkat sumpah dan 3 Disember 2022, maka tertubuhkan Kabinet Kerajaan Perpaduan Persekutuan Malaysia. Dengan akta anti lompat yang sudah berkuat kuasa, didoakan semoga kerajaan ini berjaya bertahan sehingga habis penggal insya Allah. Sebagai anggota parti sejak 22 Mei 2007 sudah pasti saya gembira meskipun Anwar berjaya menjadi PMX secara 'ugly win'. Ya, PKR dan sekutu PH tidaklah berjaya menguasai parlimen sebagaimana PRU-14, tetapi apa lagi cara yang ada untuk mengangkat presidennya ke Putrajaya? Ada yang mengeluh itu dan ini, tetapi inilah realpolitik. Naratif politik akan berubah mengikut konteks. Sekarang konteks pasca PRU naratifnya sudah pasti berbeza. Naratif berubah kerana masa berubah, dan perubahan masa menyebabkan berlakunya peristiwa-peristiwa. Keadaan inilah yang mengubah naratif. Sebagai contoh, sebelum PRU BN berkata No Anwar No DAP dan PH pula membalas dengan BN Parti Sakau. Selepas PRU, berlaku peristiwa Agong bertitah meminta semua pihak bertelagah bersatu. Jika anda bercerita tentang No Anwar No DAP pasca PRU-15 maka nampak sangatlah anda belum faham naratif dan konteks.

Dan dengan sampainya PMX ke puncak kuasa, maka selesailah perjuangan saya. Selebihnya saya serahkan kepada mereka yang telah diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab. Pandai-pandailah buat dasar dan keputusan. Jadi untuk itu bolehlah saya berundur dengan aman. Kepada Kerajaan Perpaduan, buatlah kerja atau anda semua akan dihukum dengan lebih teruk dalam pilihanraya mendatang.
Kepada kawan-kawan yang menyokong Perikatan Nasional, pesan saya hanya satu. Negara kita ada Majlis Raja-Raja dan ada Agong, usahlah momokkan dengan sentimen kaum dan agama. Terimalah hakikat negara ini adalah negara semua bangsa dengan orang Melayu sebagai ketua utama.
Wallahulalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan