Isnin, 27 Mei 2024

Suci Seorang Kekasih #1

 #1

Bas General no. 46 melintasi Jambatan Bota merentasi Sungai Perak. Kelihatan air tenang dibawa arus ke hilir. Aku tenggelam dalam lamunan sendiri saat angin dari jendela bas menyapa lembut wajahku. Aku menghirup udara nyaman pagi ini sambil tersenyum sendiri. Hatiku berbunga bunga kerana hari ini aku akan bertemu janji di KFC Ayer Tawar.

Gadis genit asal Lekir beberapa kali menyuarakan hasratnya untuk bertemu. Perkenalan kami bermula apabila dia tersalah hantar SMS kepadaku. 

"Aje bajangg."

Lalu aku membalas sms tu. "Saya bukan Bajang.  Saya Mikhail."

Menyusul SMS balasan daripadanya. "Sorry sy slh no. Igt Mimi td."

Sakit hati dengan ejaan ringkas SMS gadis ini maka aku hanya membalas OK.

Seminggu dua kemudian, aku putus dengan Diana. Susah betul bila kredit cepat habis. Aku pakai TMTouch. Diana pakai Maxis. SMS mahal. Membazir.

Oh, bukanlah sebab itu kami putus. Sebetulnya seorang jejaka kacak dari Damansara, anak pegawai kerajaan telah melamarnya sebagai kekasih hati. Diana serba salah. Di sana Mikhail seorang pelajar Diploma Perakaunan setia menunggu. Di sini Rudy jejaka urban, model sambilan merangkap pelajar jurusan arkitek datang melafazkan cinta. Dia juga ada kereta Perodua Kembara. Untuk Diana dengan kereta ini tidak perlulah dia berpanas hujan berjalan kaki ke dewan kuliah.

Lalu sampailah satu layangan SMS dari Rudy. "Diana she's mine." Remuk redam hatiku saat membaca SMS itu. Mesej tu ku biarkan tanpa balasan. Walau dalam hati teringin nak balas 'berambus ke neraka.'

Untuk seminggu selepas itu aku jadi bingung. Aku sudah biasa berjalan kaki ke dewan kuliah dengan Diana. Selama ini kami bahagia bawah panahan terik matahari, kini aku sendiri melangkah tanpa teman. Dan tika itulah Perodua Kembara itu memintasku sambil bingit menekan hon. Dari ekor mataku jelas dilihat Diana sedang tertawa manja dengan Rudy. Rudy dengan sunglass RayBan sekadar senyum sambil menoleh ke arahku.

Lalu kereta itu meluncur laju memintasku. Saat itu aku terbayang kalaulah aku ada mesingan memang bersepailah Perodua Kembara Rudy itu.

Beberapa hari kemudian selepas habis kuliah, dalam perjalanan pulang aku singgah ke Downtown, aku memesan jus mangga. Sebungkus plastik penuh RM2.50 sahaja. Nikmatnya tuhan saja yang tahu saat meminumnya tika panas cering petang.

Sambil menyedut jus mangga, aku mengeluarkan telefon. Mulanya aku nak main Snake. Tak jadi. Aku membuka menu Messaging.  sambil menatal mesej kepada Azlan -- memaklumkan aku singgah di Downtown. Nak kirim apa, kirimlah. Aku terpandang kembali mesej tersalah hantar dari gadis itu. Aku terfikir adakah dia telah hantar ke nombor Mimi yang betul. Maka aku pun -- entah apa niatnya, menyusul SMS kepadanya. 

Dah dapat no. henpon Mimi? Dia tengah tunggu awak balas 'aje bajang' tu.

Begitu pantas dering handphone aku tanda SMS diterima. Hatiku berdebar. Selama ini aku bukan tahu pun gadis ini lelaki atau perempuan. Aku agak saja mungkin Mimi ini bergurau lalu dibalasnya SMS dengan 'aje bajang.'

Aku pun terus membuka inbox. 1 message unread. Tak sabarnya. 

Nasi goreng ayam 1.

Jus mangga 1.

Ayam goreng 1 - Meor mintak.

Nescafe Ais 2 - Meor + Shadow.

Megi goreng 2 - Meor + Acab nak pedas sikit.

Spontan aku ketuk kepalaku dengan Nokia 8250. Astagaa. Mesej kiriman makanan Azlan benar-benar menyesakkan dadaku. Sudahlah order makan mahal-mahal, dia open order pulak dengan kawan-kawan lain. Dia ingat duit PTPTN dalam poket aku ni banyak ke.

Demi tidak menghampakan kawan-kawan, aku pun pergilah dari kedai ke kedai di Downtown itu. Makcik Zainab, tukang masak tersohor di Downtown menegurku "kenape menunduk je tu?" Aku hanya senyum tawar. Dalam hati aku jawab mau tak menunduknya makcik, saya kena pau dengan kawan. Lepas tu sayalah yang kena bawak semua order ni ke bilik.

Kemudian handphone aku berdering lagi. 1 message received. Aku yakin mesti Azlan nak tambah order lagi. Jangan risau sahabat, aku dah ready jawapan yang sesuai. Sama ada 'pergi mampus' atau 'ingat aku ni cop duit ke bajangg.' 

"As.salam awk, sy dah msj mimi lah. No. dia dekat2 dgn awk. Sy slh tekan hari tu. Sorry ek Mikhail."

Wahhhh.... Tiba-tiba aku rasa cerah dunia ni. Sepantas kilat aku membalas mesejnya. 

"Hehe okay. Awk tau nama saya. Nama awk apa pulak. Sy save no. ni Kawan Mimi Sesat."

"Hehehe ngadalah. Sy Nur Amira. Panggil Amir pun bolehhh. Ehehe." 

Oh tidak. Mustahil aku panggil Amir. Terbayang aku Amir class rep aku yang skema dan cakap macam robot sepatah sepatah. Seolah-olah setiap patah katanya ada titik noktah. "Kau. Dah. Bayar. Duit. Fotostat. Puan. Wardina?"

Ohhh Mira. Mira Mimi. Sy baru je nak makan mi ni. Mi goreng. XD

"Sy bukan mknn la awak. Hehehe. Erm sedap mkn mee grg. Jgn lupa bc bismillah ye."

Maka bermulalah hari hari bahagiaku. Aku lihat rumput lalang di tepi Downtown ini seperti taman bunga yang penuh dengan ros dan chrysanthemum. 

"Hai apa yang  nyerongin je tu. Penat makcik panggil kamu." Alamak kesian makcik Zainab bawak semua order ke mejaku. 

"Maaf cik nab. Saya tak perasannn. Sorry sorry sorry." 

"Takpelah. Tadi mendung aje muka kamu tu. Acik ingat kamu penat jalan jauh. Ni tiba-tiba sengih manjang. Kamu balas mesej dengan perempuan ke?"

"Ha ah saya mesej dengan Nadia anak acik la ni. Tanya dia sihat ke tak. Tak nampak dia kat sini. Risau saya."

"Eeee getiknye.... Nadia datang malam karang. Dia ada sukan kat sekolah. Dah pergi balik. Syuh syuh."

Ala acik ingat saya ayam ke nak syuh syuh. Ok fine. Saya balik.

"Makcik nanti saya nak masuk minang Nadia boleh." 

"Eeee tak sio aku menantukan kamu. Baju pun pakai sama aje tiap hari. Entah2 tak basuh."

"Acik tak baik tau. Nanti saya jadi Tax Accountant kat PriceWaterhouseCoopers baru makcik menyesal tolak saya." 

"Dah pergi balik pergi balik." Makcik Zainab mengekek gelak. Cepat-cepat dia ke dapur. Banyak order mula masuk petang itu.

Dan bila aku sampai ke bilik, situasi gempar berlaku. 

"Weh. First time aku nampak orang kena pau happy weh." Azlan

"Aku tak percaya. Dah la dia order, lepas tu dia bawak semua ni sorang-sorang. Lepas tu dia belanja kita semua wehhh.." Shadow 

"Kamu dah nak mati ke, lain macam buang tabiat kamu ni." Meor

Aku langsung tak ambik port hiruk pikuk di bilik ini. Aku terus ke katil. Baring. Peluk bantal golek. Unlock keypad Nokia 8250.

"Mira"

+++++++ 

Bas General 46 terlanggar lubang lalu menyedarkan aku dari lamunan. Seketika seorang lelaki menekan loceng. Bas berhenti. Ah, dah sampai Ayer Tawar. Aku cepat-cepat menuruti lelaki itu turun keluar dari bas.

Seketika bas pun bergerak menuju Manjung. Dari situ aku berjalan menuju ke KFC. Dan di depanku kini adalah seorang gadis bertudung biru muda setia menunggu. 

"Mira"

Dan gadis itu tersenyum.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pemilihan Cabang Wangsa Maju: Pandangan Dari Jauh

1. Musim pemilihan Parti Keadilan Rakyat tiba lagi. Inilah saatnya para anggota parti mengundi calon pemimpin mereka. 2. Sama ada publisiti ...