Sebelum ini aku tidak pernah memandu kereta manual ke Lenggong. Paling jauh aku bawa sampai Slim River, masa nak beli kek tapak kuda. Apabila aku dapat tugasan rasmi ke Gerik, aku nak cuba memandu Axia E (Type R - Rahmah) ke sana.
Melintasi kampung halaman di Lenggong, aku berhenti sebentar di Kencana Restoran. Hujan agak lebat. Sambil menikmati kopi aku melihat ke seberang jalan -- kedai pakaian dan uniform sekolah. Aku masih ingat suatu masa dahulu apabila balik kampung dengan mak, kami akan menaiki bas Red & Yellow dari SK Banggol Belimbing menuju ke pekan. Sekarang bas itu tinggal kenangan.
Keesokannya di JKR Gerik, aku dan rakan memulakan tugasan semakan dokumen. Pada waktu malam kami makan di Kuala Rui berhampiran Dataran Loma. Sedap masakannya. Dalam kebasahan hujan, perut pun lapar -- habis licin char kuey teow dan nasi goreng.
Selesai tugasan di Gerik aku turun semula ke Lenggong. Aku bermalam di Teratak Kapten Rosli di pekan. Malam aku menikmati makanan western di situ. Keesokannya aku membawa kawan ke lata mat ladi. Aku tidak sempat bertemu dengan saudara yang lain kerana kekangan masa dan sudah pasti ada urusan harian lain. Ini bukan musim hari raya di mana semua rumah adalah terbuka untuk dikunjungi.
Hampir dua jam ke lata mat ladi, aku kembali ke kereta yang diletakkan di depan rumah pakcu. Pakcu tiada di rumah kerana pergi ke kebun sahabatnya. Aku keluar ke jalan besar dan bertemu pakcu di tepi jalan. Dalam keadaan panas terik, sempat jugalah aku bersembang dalam 15 minit begitu. Pakcu kelihatan letih. Aku juga tidaklah mahu berada di tebing jalan lama-lama. Asalkan dapat salam sudahlah.
Aku kemudian bertolak ke Ipoh. Kawan aku nak cuba pizza tempatan. Kami melepak dalam sejam juga di kedai pizza itu. Di depan kami adalah Ipoh Padang. Dalam jam 5 kami pun bergerak keluar dari Ipoh. Boleh tahan juga jem di sini. Akhirnya jam 8.40 malam aku sampai ke Putrajaya.
Aku bersyukur akhirnya Axia Type R menjejak daerah Gerik dan Lenggong -- suatu perkara yang aku tak dapat buat masa dengan Viva 660cc manual dulu.
Nota: Selepas itu, Axia ini telah menjelajah sampai ke Sungai Petani, Kedah dan Pasir Gudang, Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan